Undang-undang
Islam diLaksana
Kebahagiaan Di Rasa
Kebahagiaan Di Rasa
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ
الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى
الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا
اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
…أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah
sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati
melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga
sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama
meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah
dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi
segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 12 surah as-Sajadah :
وَلَوْ تَرَىٰ
إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا
وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya
engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di
hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan
kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala
yang kami engkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami
mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”
Islam
adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia.
Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan
manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini
bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya
untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika kita
memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan
kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan
mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri
dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka
yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan
biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang
akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan puasa
antara matlamat daripada pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia
itu dari melakukan penderhakaan terhadap Allah SWT dalam kehidupan disamping
baik untuk kesihatan. Begitu juga hukum hudud seperti kerat tangan bagi
kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh.
Terdapat 6 perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu [1] memelihara agama atau aqidah, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara maruah [5] memelihara akal dan [6] memelihara harta
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 48 surah an-Nisa’ :
إِنَّ اللَّـهَ
لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ
وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan
mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan
mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang
lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
Perkara
yang paling penting yang wajib kita jaga ialah aqidah daripada terpengaruh
dengan ajaran sesat apatah lagi murtad. Pada hari ini begitu banyak masalah dan
perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat
Islam jahil tentang agama mereka sendiri. Berkaitan kesalahan murtad atau
keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan
pesalah bertaubat. Aqidah atau pegangan seseorang akan rosak melalui 3 cara
iaitu [1] Iktiqad
(kepercayan) antaranya; dengan meayakini sesuatu perkara yang membatalkan iman,
syak pada perkara yang yang wajib beriman dengannya dan syak pada perkara yang
dinyatakan oleh agama secara qati’e (putus). [2] Perkataan antaranya; mendustakan Allah dan Rasul dan
perkara yang wajib beriman dengannya, memaki Allah dan Rasul, engkar perkara
yang nyata wajib dengan dalil qati’e (putus), menghalal perkara yang nyata
haram atau mengharam perkara yang nyata halal dengan dalil qati’e (putus),
mempersenda dan membuat olok-olok dengan agama dan berkata dengan suatu yang
menjadikan syirik atau kufur. [3] Perbuatan antaranya; jangan memperbuat suatu yang
menjadikan syirik atau kufur, Jangan memperbuat suatu yang menyerupai syirik
atau kufur
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 33 surah al-Isra’ :
وَلَا
تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ
مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ
ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri
seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan
yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah
menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia
melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat
sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).
Kedua kita wajib menjaga diri daripada
membunuh orang lain tanpa sebenar atau bunuh diri sendiri. Kita dapat saksikan
bagaimana masalah pembunuhan semakin serius termasuk jenayah membunuh diri
di mana statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh
hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh
diri. Kebanyakan kes bunuh diri akibat putus asa dalam menyelesaikan masalah
seperti hutang, kerja, rumahtangga dan sebagainya. Islam memandang berat masalah
ini di mana nabi Muhammad s.a.w telah banyak memberi amaran keras terhadap
orang bunuh diri sendiri seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah r.a.: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan
terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang
meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia
akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya
selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan
berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka
jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 2 surah an-Nuur:
الزَّانِيَةُ
وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا
تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ
بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ
الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki
yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali
sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap
keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah
dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada
mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Islam begitu mementingkan penjagaan terhadap
zuriat keturunan dengan mewajibkan kita menutup semua pintu zina termasuk
pergaulan bebas, cara berpakaian dan sebagainya. Kita begitu bimbang bila
jenayah membuang bayi kembali menghantui masyarakat. Begitu juga hasil Kajian
Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia
(IPPBM) pada September hingga November 2010 yang melibatkan seramai 5,016
responden yang dipilih secara rawak di mana seramai 2,260 responden mengakui
terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka
mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah. Setiap 3 daripada 6 remaja
berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan zina
dan yang lebih mengecewakan ramai pelajar universiti yang turut terlibat sama
dengan jenayah yang dahsyat ini. Sayyidina Umar Ibni Al-Khattab pernah berpesan,
“Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan
zaman kamu.” Kata syair : Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi
akhlaknya masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan lenyap
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Islam mewajibkan kita supaya menjaga maruah dengan akhlak mulia serta melarang
menjatuhkan maruah orang lain termasuk tuduhan zina tanpa bukti dan sebagainya.
Islam juga mewajibkan kita supaya menjaga akal daripada dirosakkan terutama
dengan arak dan dadah serta perbuatan yang lain yang membawa kepada hilangnya
akal. Begitu juga penjagaan syariat Islam terhadap harta supaya tidak
dicerobohi sesuka hati termasuk mengambil tindakan yang tegas terhadap
kesalahan mencuri dan merompak. Bila kita renungi dengan fikiran yang waras dan
matang maka akan menambahkan lagi keyakinan kita terhadap kehebatan Allah dan
keadilan sistem Islam di mana semuanya untuk kebaikan dan kebahagiaan kita di
dunia dan akhirat bukannya sebagai penyekat kebebasan dan penindasan yang
menzalimi manusia. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah:
وَالسَّارِقُ
وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ
اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan
orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai
satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu
hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
بَارَكَ اللهُ
لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ
مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ
وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan