Cari Blog Ini

Khamis, 9 Februari 2012

Gamitan Maulidur-Rasul 1433H

Sambutan Maulidur-Rasul 1433h


Salam Maulidur-Rasul... Rasulullah SAW Idola kita semua.. Jom semarakkan cinta kepada Rasulullah... Khilaf tentang sambutan Maulidur-Rasul ? Harus ke, Sunnah ke, Bid'ah ke ? Masing-masing mempunyai hujjah.. Yang penting tidak salah memperingati kelahiran Rasulullah SAW untuk menyemarakkan cinta kepada Rasulullah SAW, yang salahnya hanya ingat kepada Rasulullah SAW ketika sambutan itu sahaja, yakni sekali setahun sahaja, yang ini jelas bid'ahnya.. Sedangkan semarak cinta Rasulullah itu sepatutnya harum sepanjang masa.. Jom kenali Rasulullah SAW..



1. Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdu Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin al-Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Madhar bin Nazzar bin Ma‘ad bin Adnan bin Isma‘il bin Ibrahim…
قال رسول الله: ( إن الله اصطفى كنانة من ولد إسماعيل واصطفى قريشا من كنانة واصطفى هاشما من قريش واصطفاني من بني هاشم)
2. Kelahiran : 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah
3. Kitab Agama Lain Memperaku Kerasulan Nabi Muhammad ( Dr. Danial Zainal Abidin – Empayar Minda Muslim)
3.1 Bible – Paracletos : Yunani klasik – peri + cleotis = Yang Terpuji / Peristiwa Gua Hira dalam Bible “The English Version Of The Authorised Version Of The Bible” bab Isaiah 29:12 : “ Dan apabila kitb itu diberikan kepada seorang yang tidak dapat membaca dengan mengatakan : Baiklah baca ini, maka ia menjawab aku tidak dapat membaca..”
3.2 Veda / Purana (Hindu) – Narashangsa (Yang Terpuji), Antim Rishi (Utusan Terakhir), Kalki Avatar (Utusan Akhir Zaman), Mamaha (Muhammad) dan Ahamiddhi (Ahmad) / Unta sebagai tunggangan, 12 isteri, 10 kalungan dileher (Sahabat dijanjikan syurga), 10000 lembu (10000 sahabat pembukaan kota makkah 8 hijrah).
3.3 Kitab Buddha – Buddha : seorang yang bijaksana / Antim Buddha (Nabi terakhir), Maitreya (Pembawa Rahmat) / Gospel of Buddha oleh Carus hal. 217 : “Wahai Nanda, aku bukannya Buddha yang pertama dan bukan juga yang terakhir, akan lahir nanti seorang Buddha di dunia yang akan menyampaikan kebenaran dan kebaikan. Dia seorang yang suci lagi teguh beragama, Dia akan memiliki ilmu dan kebijaksanaan. Dia akan menjadi pemimpin dan bagi pembimbing semua manusia. Dia akan mengajar kebenaran sebagaimana aku mengajar kebenaran. Dia akan memberikan kepada dunia ini satu cara hidup yang suci dan lengkap. Wahai Nanda, namanya ialah Maitreya”..    

4. Kehebatan Rasulullah :
          4.1 Kejadian Baginda
4.2 Keilmuan Baginda
4.3 Kehendak dan Pilihan Baginda
4.4 Kedudukan dan Kemampuan Baginda
4.5 Memiliki Kata-kata yang Memukau
4.6 Akal dan Wawasan Baginda
4.7 Akhlak Baginda

5. Sifat Kepimpinan Rasulullah Sa‘id Hawwa ( Ar-Rasul) :
          5.1 (Siddiq) - Sifat Benar yang tidak dapat digugat.
5.2 (Amanah) - Teguh Pendirian dan Pegangan Untuk Menyampaikan
Risalah Islam.
5.3 (Tabligh) - Berterusan Menyampaikan Seluruh Aspek Risalah Islam.
5.4 (Fatonah) - Akal Fikiran Yang Hebat.
6.5 Memahami Dakwah Teori & Praktikal.
5.6 Kemampuan Meneruskan Dakwah secara penyampaian dan
menyakinkan.
5.7 Kemampuan Memahami Pengikut secara Tarbiah, Organisasi,
Mempermudah dan Menjaga.
5.8 (Thiqqah) Dipercayai dan Diyakini oleh Pengikut.
5.9 Mampu Menggunakan kelebihan pengikut (akal dan fikiran) semasa
perang.
5.10 Mampu Menyelesaikan Masalah yang mendatang dengan segera.
5.11 Jauh Pandangan



Wassalam..

Khamis, 2 Februari 2012

Pemurnian Perubatan Islam..

Artikel menarik tentang Pemurnian Pengubatan Islam oleh Muallij Mustaqim Bin Mohd Najib http://klinik-muallij.blogspot.com/2012/01/tasfiyah-dalam-pengubatan-islam.html :


Tasfiyah Dalam Pengubatan Islam

Tuan puan sekalian, hadis palsu contohnya di mimbar khutbah Jumaat, atau di musim tertentu fadilat-fadilat bulan Safar, Rajab, Syaaban, Ramadan dan banyak lagi. Di Malaysia belum ada lagi satu Pusat Penapisan yang memantau hal ini di bawah jabatan agama Islam yang berkuasa penuh terhadap sesiapa penukil hadis-hadis palsu, penyebar hadis palsu dan penjual hadis palsu walaupun kita sudah ada Kementerian Dalam Negeri. Inilah apabila hadis-hadis kurang dititik berat ketulenannya, masyarakat terus hanyut tanpa pemantauan. Sebagai contohnya:

Kitab Fadhail Amal (فضائلِ اعمال)
Kitab Fadhail Amal karangan Maulana Muhammad Zakariya Kandhlawi dari India. Kata pengarang, hadis ini terdapat perselisihan di kalangan para perawi hadis tentang periwayatnya. Namun, hadis ini masih boleh diterima kerana ianya berkenaan hadis fadhail (kelebihan) dan kebanyakan isi hadis ini disokong oleh riwayat hadis yang lain. Teks asal telah disemak oleh beberapa ilmuan agama dan didapati hampir 70% terdapat kandungan hadis lemah dan hadis palsu. Kitab ini banyak terdapat di surau-surau dan masjid-masjid di Malaysia dalam bentuk terjemahan Melayu. Jemaah Tabligh di luar negara tidak menggunakan kitab ini sebagai dakwahnya sebaliknya menggunakan Kitab Riyadhus Solihin oleh Al-Imam Nawawi.

Kitab Ihya Ulumuddin (احياء علوم الدين)
Bahkan dalam Kitab Ihya Ulumuddin karya Al-Imam Ghazali sendiri terdapat hampir 90% hadis palsu dan hadis lemah. Saya membincangkan dari sudut ilmiah dan bukan merendahkan Imam Al-Ghazali. Al-Hafiz Zainuddin Al-Iraqi menilai buku ini, namun datang pula manusia yang menilai Al-Hafiz Zainuddin Al-Iraqi dengan mendatangkan tohmahan dan fitnah gara-gara penilaian beliau pada Kitab itu walhal Al-Hafiz Al-Iraqi hanya membuat beberapa penilaian dan analisis dalam kitab itu tanpa merendah-rendahkan Al-Imam Ghazali.

Kitab Qishashul Anbiya (قصص الانبياء)
Begitu juga Kitab Qishashul Anbiya karya Ibnu Katsir yang mendapat ulasan dari Syeikh Salim Al-Hilali. Beliau membuat taklid sebanyak 3 jilid pada kitab itu dan bukan pada Ibnu Katsir. Ini kerana, Ibnu Katsir telah mencampurkan dan menghimpunkan semua maklumat yang didapatinya berserta sanad, matan dan rawinya termasuklah kisah Israeliyat. Saya menegaskan bahawa Ibnu Katsir tidaklah mendustakan atas nama nabi kerana tugasnya telah selesai iaitu beliau telah pun menyampaikannya berserta sanad, matan dan rawi bagi setiap hadisnya. Namun sayangnya masyarakat telah mempercayai hadis palsu yang terkandung di dalamnya kerana setiap hadis itu tidak dilabelkan dan diberi status malah terjemahan dalam bahasa Melayu sendiri gagal menunjukkan nota kaki bagi setiap hadis amhupun kisah Israeliyat dan inilah tasfiyyah yang dilakukan agar masyarakat tidak terus hanyut dengan kepercayaan pada kisah Israeliyat dan hadis palsu.

Kitab Tafsir At-Thabari (تفسير الطبري)
Perlu juga diketahui, bahawa golongan Syiah adalah antara yang paling banyak mencipta riwayat-riwayat sirah dan sejarah, agar manifesto dan propaganda mereka disebarkan. Tafsir At-Thabari karya Imam Thabari sebanyak 26 jilid, terdapat banyak kisah sahabat yang bersandar kepada sumber seorang Syiah bernama Abu Mikhnaf. Tetapi bukanlah salah Imam Thabari, kerana sudah pun beliau menyebut di dalam kitabnya,
“Aku telah menghimpunkan semua kisah yang sampai kepadaku, semua hadis yang sampai kepadaku sama ada betul atau palsu, dan aku tuliskan sanadnya”
Maka telah selesailah tugas Imam Thabari tanpa kesalahan membawa cerita yang tidak benar kerana beliau telah pun menyampaikannya berserta sanad, matan dan rawi bagi setiap hadisnya. Adalah menjadi tugas ulama terkemudian darinya yang mempertahankan dan menjelaskan perkara sebenar apa yang berlaku.



Kitab Penulis Beraqidah Syiah

Berbeza dengan Kitab Sifat Solat Nabi yang Sahih (صحيح صفة صلاة النبي) karya Sheikh Hassan bin Ali Al-Saqqaf (السيد حسن بن علي السقاف) yang beraqidah cenderung kepada Syiah. Begitu juga Kitab Tanaqudhat al-Albani (تناقضات الالباني) karya Hasan as-Saqqaf. Selain itu, Hasan bin Ali As-Saqqaf berkata dalam kitabnya "At-Tandid bi Man 'Addadat Tauhid: Ibtal Muhawalah At-Taslith fit-Tauhid wal 'Aqidah Al-Islamiyah" halaman 25: "Adapun permohonan (Ad-Du'a) keseluruhannya bukan suatu ibadah kecuali sekiranya kita bermohon kepada sesiapa yang kita yakini memiliki sifat Rububiyah."


Dalam halaman 26: "Permohonan (Ad-Du'a) merupakan suatu ibadah sekiranya ditujukan kepada Allah atau kepada sesiapa yang si penyeru yakini bahawa yang diseru itu memiliki sifat Rububiyah."



Kenyataan ini mirip dengan kata-kata Khomeini seorang penganut Syi'ah Rafidhah dengan katanya:



"Jelas bahawa syirik ialah memohon sesuatu selain dari Tuhan sekalian alam di atas asas sesuatu itu berfungsi laksana Tuhan. Adapun sekiranya tidak bersifat demikian maka ia bukan perbuatan syirik. Sehubungan ini tiada perbezaan antara memohon kepada yang masih hidup atau yang sudah mati mahupun memohon hajat kepada batu-batuan. Ia bukan merupakan perbuatan syirik." (Kasyful Asrar, halaman 49)



Berikut adalah kenyataan JAKIM berkenaan Hassan al-Saqqaf (penulis Kitab Sifat Solat Nabi yang Sahih).  

"Di samping itu al-Saqqaf juga dikatakan mempunyai kecenderungan kepada SYIAH walaupun beliau bukan seorang SYIAH (istilah Arab dipanggil mutasyaiyyi'), ini berkemungkinan disebabkan oleh pandangan beliau yang banyak menyebelahi SYIAH seumpama mempertikaikan Mu'awiyah sahabat Rasulullah, Mentashihkan hadis "ana madina al'ilmi wa Aliyyu babuha" (aku bandar ilmu sedangkan Ali pintunya), menolak hadis Kitab Allah dan Sunnahku dan mentashihkan hadis Kitab Allah dan Ahli Baytku serta pandangan selainnya yang menyebabkan beliau dituduh sebagai berkecenderungan SYIAH. Antara kesan buruk daripada kelantangan golongan ini menentang golongan Salafiyyah, akhirnya ia telah memberi satu kelebihan buat mazhab SYIAH untuk memantapkan hujah-hujah mereka, sekiranya kita merujuk kepada kitab-kitab SYIAH kontemporari kita akan dapati metode baru yang dilaksanakan oleh SYIAH adalah menggunakan bahasa Ahli Sunnah untuk menolak Ahli Sunnah sendiri. Sumber: Jurnal Penyelidikan Islam, Bil. 19, 1427H, "Isu Wahhabiyah: Menangani Secara Realiti", ms. 109-110, oleh Mohd Aizam Bin Maz'od, Cawangan Aqidah, JAKIM





Bahagian Pencetak Buku dan Penerbit Buku Harus Peka
Doktrin atau penyebaran hadis palsu ini boleh memusnahkan minda masyarakat. Kitab zaman sekarang kurang dibaca bahagian nota kakinya malah ada syarikat buku dengan kuasa percetakannya memadam nota kaki semua penulis buku dengan alasan:

a. Menjimatkan kertas dan tidaklah tebal bukunya kelak.
b. Masyarakat tidak berminat dengan nota kaki. (Ini berikutan keluhan saudara saya yang mengeluh, buku yang dihasilkan tidak dicetak nota kaki oleh pihak penerbit buku).

Kita lihat dalam Kitab Sifat Solat Nabi (صفة الصلاة النبي) tulisan Al-Syeikh Nashiruddin Al-Albani (الشيخ محمد ناصر الدين الألباني) keluaran dari beberapa Pustaka Indonesia (Griya Ilmu, Media Hidayah, Media Tarbiyah, Pustaka Ibnu Umar, Pustaka Imam asy-Syafi'i, Pustaka Azzam, Darul Ilmi, Darus Sunah, Darul Qolam dan lain-lain) yang dipercayai tidak terlibat dengan Syiah. Lihat isinya begitu sedikit iaitu merangkumi 10% sahaja dalam kitab itu. Selebihnya nota kaki. 



Memaki Hamun Tak Selesai Masalah

Penulisan saya kali ini adalah berupa nasihat dan bukan untuk mencetus kontroversi yang akan menimbulkan penyakit hati di kalangan pembaca lalu mencemuh dan memaki saya sambil berkata, lebih baik memaki hamun dan mencerca daripada nampak baik di luar tetapi hati seperti serigala.

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنِي قَيْسُ بْنُ أَبِي حَازِمٍ عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ بَايَعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى إِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالنُّصْحِ لِكُلِّ مُسْلِمٍ

Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya dari Isma'il berkata, telah menceritakan kepadaku Qais bin Abu Hazim dari Jarir bin Abdullah berkata: "Aku telah membai'at Rasulullah untuk menegakkan solat, menunaikan zakat dan menasihati kepada setiap muslim". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Tasfiyah
Wasilah dalam manhaj salafi yang utamanya ialah Tasfiyah. Sesungguhnya perkara ini iaitu usaha untuk melakukan pemurnian tak akan berlaku kecuali orang Islam kembali kepada Islam yang asal dan suci secara menyeluruh. Ini kerana banyak penambahan dalam agama Islam yang asli dan murni. Tasfiyah adalah penyucian dan pemurnian Islam dari apa yang berbeza dan bercanggah dengannya dari aspek kehidupan. Pemurnian apa yang disandarkan dan pembetulan apa yang telah menjadi penambahan, atau ia bukan dari Islam tetapi di islamisasi (Islamisasi contohnya Bank Islam, Pinjaman Islam dan sebagainya). Logiknya pada zaman nabi, sahabat membudayakan Islam dan tidak meletakkan istilah jenama Islam dalam kehidupannya, kerana Islam memang cara hidup. (Rujukhttp://mustakimbinnajib.blogspot.com/2012/01/manhaj-salafi.html). Kata Tuan Guru Syeikh rajab, Islam itu bukan agama, Islam itu Ad-Deen iaitu cara hidup.

Tasfiyah penulisan agama sama ada dakwah, sirah nabi, sirah sahabat nabi, hadis-hadis, kitab-kitab agama, majalah, ceramah dan pengubatan Islam perlu dibuat. Masyarakat sangat berminat dengan kisah hebat dan penambahan kisah Israeliyat dalam kitab agama tanpa mementingkan kebenaran dan kesahihannya.

Tasfiyyah Dalam Pengubatan Islam
Saya teringat pada suatu masa dahulu, pengubatan Islam banyak mencampuradukkan kaedah bomoh Melayu. Antaranya, usaha memerangkap jin dalam botol, usaha menghancurkan jin dengan batu-bata, dan lain-lain usaha. Selain itu kemasukan beberapa hadis palsu dan doa-doa yang fadilatnya direka-reka antaranya:

a. Surat Abu Dujanah – Hadis Palsu
b. Doa Sulaiman (...اللهم أدخلنا فى سـور سـليمان وملك سـليمان من المشـرق والمغرب بذاته) – Diada-adakan
c. Doa Rihul Ahmar – Hadis Palsu
d. Doa Nurun Nubuwwah – Diada-adakan dan ditambahi hadis palsu
e. Doa Asif Barkhiya – Diada-adakan
f. Kaf 40 - Direka-reka dan isimnya meragukan

dan lain-lain lagi. 



Firman Allah: "Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?" [Ali Imran 3:71]



Ini diikuti dengan hadis Nabi iaitu:

عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ وَالْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيثٍ يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ
Daripada Samurah bin Jundub dan Mughirah bin Syu’bah r.a. keduanya berkata, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang meriwayatkan sesuatu hadis daripadaku yang ia sangka ia adalah dusta maka dia termasuk dari kalangan salah seorang pendusta” (Hadis Riwayat Muslim)



Adakah hizib-hizib, wirid dan ratib termasuk di dalam golongan yang harus mendapat tasfiyah?

Harus dilihat dan dinilai bagaimanakah bentuk susunannya dahulu. Semua hizib tidak bersandarkan hadis nabi serta tidak pula dicipta hadis palsu terhadapnya. Kebanyakan hizib bersandarkan kepada mimpi bertemu nabi atau inspirasi ulama lebih-lebih lagi golongan sufi pada jalan tarekat masing-masing. Ia tidak menggunakan istilah 'hizib ini ialah hadis ini dari nabi'. Huraian tentang hizib, wirid dan ratib ada di http://klinik-muallij.blogspot.com/2012/01/hizib-sunnah-atau-bidah.html.



Usaha Tasfiyah Darussyifa
Darusyyifa pernah mengamalkan beberapa amalan yang tidak menjurus kepada perubatan nabi dan banyak usaha tasfiyyah dilakukan dengan menarik balik kaedah dan doa yang bercanggah dengan perubatan nabawiyah hinggalah siri buku terbaru Darussyifa sebanyak 5 Jilid cetakan April 2011 tidak lagi kita temui doa-doa dan kaedah-kaedah sebagaimana di dalam buku-buku sewaktu zaman bersama Dr Amran Kasimin dahulu.

Usaha Tasfiyah Klinik Muallij
Usaha tasfiyyah ini hanya dilakukan oleh kumpulan salafussoleh. Inilah kebaikannya kerana Darussyifa terpaksa hapuskan beberapa amalan yang bertentangan dengan syariat Islam. Saya juga ada amalan seperti itu (rujuk kitab ebook 65 Doa Muallij). Saya juga sedang dalam usaha tasfiyyah kitab-kitab saya tetapi setakat ini tiada yang tampil mengkritik semua kitab percuma saya edarkan sudah hampir 3 tahun. Saya ingat suatu ketika dahulu kes pertama timbul bila saya siarkan artikel blog surat Abu Dujanah, ada beberapa golongan salaf menegur saya, akhirnya saya akur dan terpaksa memadam artikel itu dan menggantikan artikel baru tentang surat Abu Dujanah (http://klinik-muallij.blogspot.com/2010/12/surat-abu-dujanah-dari-hadist-palsu_13.html). Usaha tasfiyyah ini penting kerana kita akan mendengar beberapa pendapat yang baik dari beberapa orang yang alim tentang agama. Begitu juga kaedah bedah ghaib yang saya lakukan pada dua rawatan perdana pada tahun 2010 telah saya hentikan. Walaupun mendapat permintaan, saya menolaknya.
Beberapa artikel saya seperti Zikir Parang Terbang, Kaedah Mencabut Batu Serai Bunga, Pembukaan Hijab, Mata Ketiga, Terawangan dan lain-lain juga telah saya tarik balik. Begitu juga artikel Kaf 40 sudah dipadamkan kerana mengandungi isim yang meragukan dan terlalu ramai yang menjadi kurang waras (Gila Isim) akibat mengamalkannya. Namun begitu, di dalam youtube, saya masih kekalkannya kerana video ini menjadi siri pendedahan Kaf 40.

Al-Bayan Itu Sihir
Kadang-kadang masyarakat berebut-rebut mempelajari ilmu asing yang sering diamalkan oleh ulama Nusantara sebagai contoh Kaf 40, Doa Nurun Nubuwwah, Doa Sulaiman, Doa Asif Barkhiya, dan berbagai-bagai lagi. Setebal-tebal Al-Quran dan Al-Hadis langsung tidak dipedulikan kerana lafaz-lafaz unik serta guru-guru yang mengajar ilmu berkenaan amat mempesona dan menarik minat. Teringat satu hadis iaitu di antara lafaz yang indah terdapat apa yang disebut sihir.

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ قَدِمَ رَجُلَانِ مِنْ الْمَشْرِقِ فَخَطَبَا فَعَجِبَ النَّاسُ لِبَيَانِهِمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ الْبَيَانِ لَسِحْرًا أَوْ إِنَّ بَعْضَ الْبَيَانِ لَسِحْرٌ

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf telah mengabarkan kepada kami Malik dari Zaid bin Aslam dari Abdullah bin Umar radliallahu 'anhuma bahwa dua orang dari penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berkhutbah hingga orang-orang hairan dengan penjelasannya, lantas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandung sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandung sihir." (Hadis Sahih Bukhari, Albani mensahihkannya)

Maksud bayan menurut Ibn Kathir secara umum adalah Allah mengajar manusia "kepandaian berbicara", yakni kepandaian membaca dan menyebut ayat-ayat al-Quran dengan cara yang betul. Manakala Thabari pula mentarjihkan makna yang lebih umum, iaitu: Bayan ialah segala yang diperlukan oleh insan dalam kehidupan dunia dan agamanya, seperti halal dan haram, kehidupan, pertuturan dan lain-lain.
Bayan ialah satu kenyataan iaitu contohnya memuji dengan kasih sayang, dan kemudian mengkritiknya dengan kebencian yang membuatkan orang yang mendengarnya terpesona kerana Ia adalah sebaik-baik perkataan. Ia bertepatan dengan makna al-Bayan dalam ilmu bahasa Arab.
-Al-Jauhari berkata: Al-Bayan: kefasihan
-Al-Jarjani berkata: Al-Bayan ialah: seseorang yang bertutur menyerlahkan kehendaknya kepada pendengar.
-Tafsiran lain bermaksud halal dan haram dan juga kenyataan.

Tasfiyah Pengubatan Islam Daripada Ijtihad Yang Bercanggah Dengan Al-Quran & Sunnah
Tiadalah saya berniat menjatuhkan mana-mana pihak atas usaha penulisan ini kerana saya masih di dalam lingkungan ilmiah dan tidak mendangkalkan mana-mana pihak. Bukan juga menunjuk hebat dalam penulisan. Tasfiyah pengubatan Islam dari perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan sunnah.  Bukan semua ijtihad saya di sini betul. Ada juga yang mungkin bertanya,
“Hang siapa nak buat ijtihad? Hang siapa nak ijtihad? Hang siapa nak tasfiyyah? Hang ni wahabi ka”

Dalil sudah ada, jelas tertulis di dalam Al-Quran, Kitab-kitab Hadis lebih 15 Imam terkemuka, Kitab Zad Maad, Thib An-Nabawi, dan Kitab perubatan masa kini iaitu dari Syeikh Wahid Abdussalam Bali. Bukan semua hasil ijtihad saya benar, maksud saya tasfiyah ini ialah menggilap dan membersihkan semula beberapa ijtihad ahli pengubatan Islam di Malaysia ini yang tidak bersandarkan dalil dan nas yang kuat.

Jauhi menjadi seorang Muhajirun iaitu seorang yang menjaharkan kesalahan, kemaksiatan pada Allah dan berbangga-bangga dengan kesalahannya.

Mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam dengan berpegang teguh terhadap kitab dan sunah.
Berpegang teguhlah terhadap kitab dan sunah dan jauhi pendapat yang tercela dan qiyas yang berlebih-lebihan. Allah tidak mencabut ilmu setelah Ia berikan kepada kalian secara spontan (sekali gus), namun Allah mencabutnya dari mereka dengan cara mewafatkan para 'ulama yang sekali gus tercabut keilmuan mereka, sehingga yang tinggal hanyalah manusia-manusia bodoh, mereka dimintai fatwa, lalu mereka memberikan fatwa berdasarkan logika mereka sendiri, mereka sesat dan juga menyesatkan. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari). Wahai manusia, telitilah fikiran logik kalian terhadap agama kalian. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ دَعُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Telah menceritakan kepada kami Ismail Telah menceritakan kepadaku Malik dari Abu Zinad dari Al A'raj dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: "Biarkanlah apa yang aku tinggalkan untuk kalian, hanya sanya orang-orang sebelum kalian binasa kerana mereka gemar bertanya dan menyelisihi nabi mereka, jika aku melarang kalian dari sesuatu maka jauhilah, dan apabila aku perintahkan kalian dengan sesuatu maka kerjakanlah semampu kalian." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Banyak lagi hendak dinukilkan Insya Allah di masa akan datang. Akhir kata, Kebersihan itu Iman bahkan mengalihkan suatu halangan di jalan juga adalah iman. Iman memiliki lebih dari enam puluh cabang, dan malu adalah bahagian dari iman. Iman adalah membenarkan di dalam hati, berkata dengan lisan dan beramal dengan anggota badan. Amal itu memberi kesan pada Iman kerana firaun dan Iblis juga beriman tetapi mereka berlaku sombong dan tercabutlah tiga perkara ini iaitu membenarkan Allah dan rasulNya di dalam hati, berkata yang baik dengan lisan dan beramal dengan amal soleh dengan anggota badan. Iman ada masa pasang, ada masa surut. Wallahu a’lam.

Ahad, 29 Januari 2012

Hijrah SMK ke SMKA..

Hijrah satu pengalaman baru...

SalamuLlah alaikum.. Hijrah satu pengalaman.. hari ini genap 23 hari Ana dan keluarga berpindah dari Daerah Hilir Perak (Teluk Intan) ke Daerah Kerian (Bagan Serai).. Perpindahan untuk mencari sesuatu yang baru dalam kehidupan sebagai mu'allim.. Hasil nasihat Ibubapa (HJ. Mohd Noor dan Hjh. Zawiah) dan beberapa rakan qarib terutamanya Ustaz Abdullah Hamzah (Pensyarah IPG Bangi).. Kenangan di Hilir Perak selama 10 tahun (20 Mac 2001 hingga 5 Januari 2012) tetap segar dalam ingatan.. Kepada Warga sekolah lama (SMK Seri Perak, Teluk Intan) khususnya teman-teman GPI maaf di pinta di atas perpisahan ini dn teruskanlah rentak tari kecemerlangan Panitia Pendidikan Islam dan Komponennya seperti sebelum ini.. Antum dan Antunna memang hebat memimpin dan mengurus Dakwah dan Tarbiah Islamiah.. Kepada Warga sekolah baru (SMKA Kerian) diharap dapat menerima kehadiran Ana dengan pintu terbuka.. Penat menguruskan perpindahan masih terasa, lebih-lebih lagi baru selesai menguruskan Anak Sulung, Anakanda Asmaa' An-Najibah mendaftar di MRSM Ulul Albab Kepala Batas untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu Allah dan menjadi seorang Hafizatul-Quran, Insya Allah.. Baba harap dan berdoa agar Anakanda berjaya mencapai redha Allah, Rasul, Ummi dan Baba di dunia dan akhirat.. Stress masih ada, terutamanya perjuangan menyiapkan tesis master yang belum nampak penghujungnya walaupun masa sudah sangat mencemburui.. Kagum dengan sahabat-sahabat, Ustaz Azahari (Kedah) dan Ustaz Mohamad (Kuala Kangsar) yang berjaya menyiapkan master (PJJ) dalam masa 2 hingga 2 tahun setengah, dan sekarang telah selesai temuduga untuk menyambung PHD pula.. Mudahan Allah permudahkan jalan perjuangan meningkatkan keilmuan dan kesarjananaan ini dan menunjukkan noktah yang gemilang dan terbaik.. Kepada zaujah pula (Adinda Siti Aminah) teruskanlah perjuangan dengan kesihatan yang lebih baik di sekolah baru (SMK Abu Bakar Al-Baqir) dengan kembali ke opsyen asal B.Arab dan tinggalkanlah kenangan di sekolah lama (SMK Convent, T.Intan) yang telah banyak mengajar erti sebagai Guru Pendidikan Islam.. Kepada Anakanda Buysra Al-Madihah dan Amjad Al-Fawwaz teruskanlah perjuangan mengutip mutiara ilmu di SRABK Ar-Ridhwaniah.. dan kepada Anakanda Bongsu (setakat ni) Nujha Almardhiah membesarlah di Daerah Kerian dalam suasana Islami yang baru... Ya Allah permudahkalah urusan kami ukhrawi dan dunyawi.. aaamin

SMK Seri Perak Teluk Intan dalam kenangan..


SMKA Kerian perjuangan baru



Rabu, 23 November 2011

Pagi yang mengejutkan... Kita bila pula ?


Salam.. pagi ini bumi Perak dikejutkan dengan berita perginya Penolong Pengarah SPI JPN Perak Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fadzil Dasuki ke rahmatullah atas sebab kemalangan jalanraya di lebuhraya berdekatan Kuala Kangsar.. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Taiping.. Allahyarham adalah seorang pegawai SPI yang sangat peramah dan disenangi oleh semua GPI seluruh negeri Perak.. Amat benarlah sabda Rasulullah saw tentang kematian-kematian yang mengejutkan di akhir zaman ini.. Mudahan Roh beliau ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang diterima segala amalan di sisi Allah dan berada bersama para shuhada' dan solehiin..aamiin, Al-Fatihah..


Ahmad Fadzil Dasuki
Allahyarham Ustaz Ahmad Fadzil Dasuki
Jasa dan baktimu menegakkan Dakwah Islamiah akan sentiasa dikenang..

Ahad, 16 Oktober 2011

AKRINE : ' IKRAR PEMUTUS HUBUNGAN DENGAN JIN '

AKRINE : ' IKRAR PEMUTUS HUBUNGAN DENGAN JIN '

Segala Puji & Syukur milik Allah & Salawat serta Salam buat junjungan Rasulullah SAW. Ikhtiar di bawah untuk memutuskan perjanjian kita atau datuk/nenek moyang kita dengan spesis jin/saka. Ikhtiarkan bacaan ikrar di bawah ini bersungguh-sungguh dengan harapan bantuan Allah untuk memutuskan perjanjian dengan semua jenis jin.
Ambil air suam/yasin/mengaji dan bacakan zikir memuji Allah Subhanallah Walhamdulillah Wallahuakbar serta bersalawat, kemudian bacakan ikrar di bawah ini perlahan-lahan, memadai boleh didengar sendiri  DAN bulatkan hati memohon pertolongan dari ALLAH SWT...
Habis baca tiupkan di dalam air serta minum, ikhtiarkan berterusan sehingga 40 hari berturut- turut, Insya Allah anda akan rasa kesannya. Selamat Mencuba, Wallahu'alam.

IKRAR PEMUTUS

Bismillahirahhmanirahim

Ya Allah , sesungguhnya saya & mewakili keluarga saya dengan penuh sedar & insaf dengan ini mengisytiharkan :

1.Memutuskan semua perjanjian atau ikatan yg kami atau orang sebelum kami pernah lakukan secara sedar atau tidak dengan golongan jin sekiranya ada

2.Mengharamkan tubuh kami dr dimasuki atau dijadikan sebagai tempat tinggal apa jua jenis jin

3.Menegaskan bahawa kami hanya bergantung kepada perlindungan & pertolongan Allah.

Ya Allah mulai dari saat ini :

Saya haramkan semua makanan saya, minuman saya, seluruh anggota tubuh saya dari semua jin di dalam DAN di luar tubuh saya atau yang mengganggu saya,

Sekiranya Ya Allah

Mereka makan , minum , guna , ganggu , jadikanlah Ya Allah semua pemberian DAN milikMu itu Ya Allah sebagai racun,

Racun yang amat panas

Racun yang amat bisa

Racun yang membakar

Racun yang membunuh

Semua jin-jin itu Ya Allah

Dengan hak Lailahaillallah Muhamadurasulullah

Amin 3x Ya Rabbal A'lamin .

Dari blog sahabat : Darul Ikhtiar.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Khutbah Undang-undang Islam Dilaksana Kebahagiaan Dirasa

Khutbah 14 Oktober 2011...


Undang-undang Islam diLaksana 
Kebahagiaan Di Rasa

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 12 surah as-Sajadah :
وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami engkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”
Islam adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia. Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan puasa antara matlamat daripada pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan penderhakaan terhadap Allah SWT dalam kehidupan disamping baik untuk kesihatan. Begitu juga hukum hudud seperti kerat tangan bagi kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh. Terdapat 6 perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu [1] memelihara agama atau aqidah, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara maruah [5] memelihara akal dan [6] memelihara harta

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 48 surah an-Nisa’ :
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
Perkara yang paling penting yang wajib kita jaga ialah aqidah daripada terpengaruh dengan ajaran sesat apatah lagi murtad. Pada hari ini begitu banyak masalah dan perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat Islam jahil tentang agama mereka sendiri. Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat. Aqidah atau pegangan seseorang akan rosak melalui 3 cara iaitu [1] Iktiqad (kepercayan) antaranya; dengan meayakini sesuatu perkara yang membatalkan iman, syak pada perkara yang yang wajib beriman dengannya dan syak pada perkara yang dinyatakan oleh agama secara qati’e (putus). [2] Perkataan antaranya; mendustakan Allah dan Rasul dan perkara yang wajib beriman dengannya, memaki Allah dan Rasul, engkar perkara yang nyata wajib dengan dalil qati’e (putus), menghalal perkara yang nyata haram atau mengharam perkara yang nyata halal dengan dalil qati’e (putus), mempersenda dan membuat olok-olok dengan agama dan berkata dengan suatu yang menjadikan syirik atau kufur. [3] Perbuatan antaranya; jangan memperbuat suatu yang menjadikan syirik atau kufur, Jangan memperbuat suatu yang menyerupai syirik atau kufur

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 33 surah al-Isra’ :
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).
Kedua kita wajib menjaga diri daripada membunuh orang lain tanpa sebenar atau bunuh diri sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana masalah pembunuhan semakin serius termasuk jenayah membunuh diri  di mana statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri akibat putus asa dalam menyelesaikan masalah seperti hutang, kerja, rumahtangga dan sebagainya. Islam memandang berat masalah ini di mana nabi Muhammad s.a.w telah banyak memberi amaran keras terhadap orang bunuh diri sendiri seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 2 surah an-Nuur:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Islam begitu mementingkan penjagaan terhadap zuriat keturunan dengan mewajibkan kita menutup semua pintu zina termasuk pergaulan bebas, cara berpakaian dan sebagainya. Kita begitu bimbang bila jenayah membuang bayi kembali menghantui masyarakat. Begitu juga hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010 yang melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak di mana seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah. Setiap 3 daripada 6 remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan zina dan yang lebih mengecewakan ramai pelajar universiti yang turut terlibat sama dengan jenayah yang dahsyat ini. Sayyidina Umar Ibni Al-Khattab pernah berpesan, “Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu.” Kata syair : Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan lenyap
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
            Islam mewajibkan kita supaya menjaga maruah dengan akhlak mulia serta melarang menjatuhkan maruah orang lain termasuk tuduhan zina tanpa bukti dan sebagainya. Islam juga mewajibkan kita supaya menjaga akal daripada dirosakkan terutama dengan arak dan dadah serta perbuatan yang lain yang membawa kepada hilangnya akal. Begitu juga penjagaan syariat Islam terhadap harta supaya tidak dicerobohi sesuka hati termasuk mengambil tindakan yang tegas terhadap kesalahan mencuri dan merompak. Bila kita renungi dengan fikiran yang waras dan matang maka akan menambahkan lagi keyakinan kita terhadap kehebatan Allah dan keadilan sistem Islam di mana semuanya untuk kebaikan dan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat bukannya sebagai penyekat kebebasan dan penindasan yang menzalimi manusia. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ