Cari Blog Ini

Sabtu, 23 Januari 2010

Khutbah Jumaat : Nama Allah Dipertahan Hukum Allah DiJulang

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.



Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 6-13 surah al-Qiamah :

يَسْأَلُ أَيَّانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ وَخَسَفَ الْقَمَرُ وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ يَقُولُ الْإِنْسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ كَلَّا لَا وَزَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ يُنَبَّأُ الْإِنْسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ

Maksudnya : Dia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?” Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi berpinar-pinar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “Ke manakah hendak melarikan diri?” Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan.

Bumi semakin uzur dan hampir ke penghujungnya di mana pelbagai peristiwa yang berlaku di hadapan mata kita telah menunjukkan dengan nyata tentang betapa hampirnya dunia ini dengan saat kehancuran yang dinamakan Qiamat. Ketika merenungi bagaimana banyak peristiwa akhir-akhir ini berlaku pada hari Jumaat antaranya hari raya haji lepas, awal Muharram 1431H, Krismas 25 Disember, 1 Januari 2010 dikuti dengan gerhana bulan pada malam tahun baru dan disusuli gerhana petang ini berrmula jam 3 hingga 5.45 petang yang mengingatkan kita tentang Qiamat yang bakal berlaku pada hari Jumaat. Malah kekerapan berlakunya gerhana bulan dan matahari akhir-akhir ini mengingatkan kita tentang kaitannya dengan tanda-tanda Qiamat sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim:

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ أَسِيدٍ الْغِفَارِيِّ رضي الله عنه قَالَ : اطَّلَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا وَنَحْنُ نَتَذَاكَرُ فَقَالَ : مَا تَذَاكَرُونَ ؟ قَالُوا : نَذْكُرُ السَّاعَةَ ، قَالَ : إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ فَذَكَرَ الدُّخَانَ وَالدَّجَّالَ وَالدَّابَّةَ وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَثَلاثَةَ خُسُوفٍ خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنْ الْيَمَنِ تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ

Maksudnya : Nabi saw muncul ketika kami sedang berbincang, lalu baginda bertanya: Apa yang kalian bicarakan? Mereka berkata: “Kita berbicara berkaitan Qiamat, baginda bersabda: Qiamat tidak akan berlaku sehingga kamu lihat sepuluh tanda iaitu keluar asap, muncul Dajjal, binatang Dabbah, matahari terbit dari barat dan turunnya nabi Isa Ibni Mariam, muncul Ya’juj Makjuj dan berlaku tiga gerhana iaitu satu di timur, satu di barat dan satu lagi di Semenanjung Arab dan lain yang adalah api keluar dari Yaman lalu menghalau manusia ke tempat berkumpul

Begitu juga dengan gempa bumi silih berganti dan antara yang terbaru di Haiti yang meragut ratusan ribu nyawa. Tidak ketinggalan antara tanda Qiamat ialah berlakunya pembunuhan akibat peperangan atau selainnya di mana kita dapat saksikan di negara kita bagaimana orang Melayu Islam sanggup melakukan pembunuhan terhadap ayah, ibu, anak, isteri dan ahli keluarga sendiri di mana semua ini tidak pernah terlintas difikiran kita akan berlaku dalam masyarakat kita.

عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَا تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَأْتِيَ عَلَى النَّاسِ يَوْمٌ لَا يَدْرِي الْقَاتِلُ فِيمَ قَتَلَ ، وَلَا الْمَقْتُولُ فِيمَ قُتِلَ ، فَقِيلَ : كَيْفَ يَكُونُ ذَلِكَ ؟ قَالَ : الْهَرْجُ ، الْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ – رواه مسلم

Demi jiwaku di bawah kekuasaanNya, tidak akan berlalu dunia sehingga datang pada manusia tidak tahu si pembunuh sebab apa dia membunuh, dan tidak tahu yang kena bunuh kenapa dia dibunuh, Lalu ditanya: Bagaimana ini boleh berlaku? Sabda nabi: Pembunuhan, si pembunuh dan mangsa bunuh dalam api neraka



Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 40 surah al-Hajj :

…. وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40)

Maksudnya : …… Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah gereja-gereja (kaum Nasrani), dan biara (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;

Peringatan demi peringatan daripada Allah sewajibnya diambil iktibar dalam mengetuk hati kita dalam memperbanyakkan taubat disamping menambahkan lagi bekalan akhirat dengan amal soleh serta menjauhi maksiat. Jangan biarkan kita terus hanyut dan tenggelam dalam tipuan dunia. Ujian terhadap keimanan kita turut bertambah kerana kita kini berada dalam zaman fitnah. Oleh itu setiap tindakan kita mesti berlandaskan wahyu al-Quran dan sunnah nabi bukannya mengikut hasutan syaitan dan hawa nafsu termasuk dalam menyelesaikan isu penggunaan nama Allah yang begitu hangat dan panas sekarang ini. Kita jangan terperangkap dalam isu yang sepatutnya diselesaikan secara baik bukannya melalui cara ganas yang bercanggah dengan Islam termasuk membakar gereja. Allah telah menjelaskan dengan terang kepada kita agar jangan menganggu gereja, kuil dan tempat ibadat agama lain walau pun dalam peperangan apatah dalam keadaan biasa. Isu ini mesti diselesaikan dengan baik agar orang bukan Islam faham dengan tidak menyalahgunakan kalimah Allah disamping kita jangan mengulangi sejarah tindakan Abdullah Munsyi yang sanggup bersekongkol dengan penjajah Kristian dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu sehingga digelar “Abdullah Paderi” di mana tindakan jahat ini memudahkan lagi usaha mengkristiankan masyarakat di negara ini.

Jangan terperangkap dengan pihak yang cuba meniup sentimen perkauman mahupun perbalahan agama sehingga menggambarkan suasana negara tidak aman sehingga menutup isu penyelewengan seperti kehilangan enjin pesawat, rasuah, kenaikan harga gula dan tindakan mengurangkan bantuan makanan kepada pelajar asrama penuh dan pelajar miskin serta beberapa bantuan pendidikan lain yang menambah derita rakyat jelata.



Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Isu pengkhianatan terhadap rumah ibadat bukan pertama kali berlaku kerana kita pernah menyaksikan bagaimana Sekitar tahun 1986/87 tiga buah masjid pernah dibakar hangus di Pahang ditambah dengan tindakan umat Islam sendiri yang sanggup meroboh surau akibat politik sempit. Begitu juga pernah berlaku kuil yang dibakar dan sekarang ini giliran gereja. Kita minta agar pihak berwajib segera mengesan dan menangkap golongan pelampau ini dan dijatuhkan hukuman yang setimpal. Ketika menyelesaikan isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam maka kita mahu bukan setakat pertahan nama Allah malah hukum Allah mesti segera dilaksana dalam negara. Gubal segera undang-undang murtad sebagaimana yang digariskan oleh syarak bagi menjaga aqidah yang terancam. Letakkan kedudukan Majlis Fatwa Kebangsaan di tempat sepatutnya bukan hanya bila tersepit baru diguna tetapi bila senang maka ia dipenjarakan sehinga banyak fatwa tidak dihirau termasuk ‘menyembah’ tugu negara setiap kali sambutan Hari Pahlawan.



Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Kerajaan wajib memperkasakan pengajian agama antaranya menjadikan ia syarat lulus dalam setiap peperiksaan daripada peringkat rendah sehingga peringkat pengajian tinggi bagi mengelakkan umat Islam daripada terkeliru sekiranya nama Allah digunapakai oleh orang bukan Islam disamping menangani masalah keruntuhan akhlak. Hapuskan pemikiran kebendaan yang menganggap belajar hanya untuk dapat sijil bagi mendapat pekerjaan yang baik semata-mata kerana ia menjadi antara punca tekanan jiwa dan penyakit mental meningkat sebanyak 5 kali ganda di kalangan pelajar di Amerika Syarikat. Pelajar kita pun sudah ada yang sanggup membunuh diri akibat gagal dalam peperiksaan. Kerajaan juga wajib menangani masalah sekitar yang menggugat akhlak anak-anak muda seperti lambakan pil dan serbuk khayal murah, bahan bacaan berunsur seks dan lucah serta pil perangsang seks yang masih didapati dijual secara terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan belia di sekitar ibu negara sebagaimana laporan Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA). Rancangan tv dan media massa yang lain juga wajib di Islamkan agar tidak menjadi agen utama dalam merosakkan akhlak rakyat jelata. Pada hari ini lebih banyak agen perosak daripada pembina akhlak malah agen perosak lebih bebas bergerak berbanding golongan yang bertugas dalam kerja amar makruf nahi munkar.

فرمان الله تعالى دالم أية 110 سورة آل عمران :

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Kamu adalah sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan antara manusia kerana kamu menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta beriman kepada Allah S.W.T. Dan sekiranya ahli Kitab itu beriman nescaya itulah yang lebih baik bagi mereka tetapi ada di antara mereka yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ
وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

oleh ibnuatiq (TG Ahmad Shirazi)